Thursday 8 September 2011

MENGAPA BERGEMBIRA DI HARI RAYA ?

Mengapa gembira di hari raya?
Salam sejahtera kepda pembaca sekalian. :)

Hari Raya pertama sebenarnya adalah hari peperiksaan pertama bagi mereka-mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan.

Selepas bulan latihan mengawal nafsu dalam situasi yang lebih payah (yaitu perkara yang boleh menjadi tidak boleh, seperti makan dan minum) tibalah masa untuk membuktikan bahawa latihan yang dilalui benar-benar meninggalkan kesan.

Latihan mengawal keinginan yang tidak pernah tidur itu adakah telah melahirkan insan yang sentiasa sedar akan keinginan diri yang seringkali bersembunyi di sebalik topeng keperluan?Taqwa?

Adakah telah melahirkn insan yang mula merasa lebih bahagia dengan nikmat kerohanian daripada kenikmatan badan?

Adakah telah menyedarkan insan bahawa dia bukanlah setakat makhluq daging dan darah, tetapi lebih kepada ciptaan berakal dan berruh? yang mana seperti badan, jika tidak diberikan makanan akan mati dan membusuk? Inilah antara soalan-soalan didalam peperiksaan tersebut.

Namun, satu syawal bukanlah setakat hari pertama peperiksaan,yang menariknya adalah ia juga merupakan hari ganjaran dan hadiah bagi mereka-mereka yang berusaha bersungguh-sungguh didalam bulan latihan.

Mereka adalah golongan yang menjalani peperiksaan sambil bergembira!Kerana sudah bersedia! Subhanallah!
Kegembiraan mereka sangatlah difahami.

Golongan kedua pula, yang telah berusaha melatih diri dalam bulan ramadhan,tetapi merasakan bahawa dia tidak memberikan sepenuh kesungguhan, ataupun sudah berusaha tetapi tidak mampu meneruskan latihan tersebut dengan sempurna sedang hatinya tidak redha dan kecewa,namun masih mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka janganlah bersedih, anda berhak bergembira menyambut Hari Raya.Kerana anda telah berusaha. Yakinlah anda tetap mendapat sesuatu daripada Ramadhan...

"Sesiapa yang berpuasa dalam keadaan dia percaya akan ganjaran daripada Allah, dan mengharapkannya, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu " - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Satu lagi golongan pula adalah golongan yang bergembira kerana ramadhan akan meninggalkannya, tidak lagi perlu berpuasa tidak lagi perlu berlemah-lemah,tidak lagi perlu berpura berpuasa.Memang mereka gembira menyambut raya. Namun kegembiraan mereka adalah kegembiraan yang tidak berhak.

Dikisahkan disebuah kota bernama kota Isketambola, ada seorang raja yang terkenal suka menguji rakyat-rakyatnya.Maka pada suatu hari, dia memerintahkan pengawalnya untuk meletakkan sebuah batu besar di tengah-tengah jalan raya utama yang sering digunakan.Raja pun bersembunyi dibalik semak samun dan memerhatikan dari jauh gelagat rakyat-rakyatnya.

Rakyat jelata yang lalu berasa pelik dan marah,mengapa raja suka melakukan perkara-perkara seperti ini, ramai juga yang merungut, tanpa melakukan apa-apa.

Namun pada suatu hari datang seorang lelaki miskin penjual sayur melalui jalan tersebut. Dia memerhatikan batu tersebut kemudian tanpa lengah dan dengan sepenuh tenaganya menolak batu tersebut ke tepi.

Selepas dia menolak batu tesebut,dia ternampak beberapa ketul wang emas dan sepucuk surat yang diletakkan dibawah batu tersebut.

Dengan gembiranya dia mengambil wang emas dan membaca isi surat itu :

"Tahniah wahai rakyatku! kau telah berjaya meningkatkan dirimu!kerana sesungguhnya peningkatan
tidak akan datang kecuali dengan usaha dan pengorbanan! Tahniah!"

Golongan ketiga yang saya sebutkan tadi adalah seperti rakyat yang kenal akan raja tersebut dan
tahu bahawa ia adalah sebuah ujian, tetapi membencinya, dan mengharapkan supaya ia cepat berakhir walaupun mereka percaya bahawa ganjarannya sangatlah besar.

Mengapa mereka bergembira apabila batu tersebut sudah diletakkan ditepi? apa yang mereka dapat?
supaya mereka dapat meneruskan kehidupan seharian mereka yang sememangnya silap dan tidak jelas hala tujunya? mari sama-sama kita bermuhasabah.

Sempena Ramadhan yang hanya tinggal beberapa jam lagi, marilah kita bersama kembali menjalani ibadah puasa dalam keadaan bersemangat! dan bersungguh-sungguh, menjaga mata, telinga, hati dan minda dengan sebaik-baiknya...
Teguh berjuang disaat-saat akhir membezakan antara yang lemah dan yang kuat…!

Kembali bangun di saat-saat akhir perjuangan selepas jatuh... kita yakin akan masih diterima Allah..!

Baru sedar di saat-saat akhir perjuangan...kita rayu supaya diterima kesedaran ini...!

Kerana panjang pendeknya waktu yang masih ada tidak menjadi penentu amalan diterima ataupun tidak...

Kerana keihklasan hati dan usaha bersungguh didalam satu saat lebih mulia daripada kepura-puraan 1000 tahun!

TaqabbalalALLhu minna waminkum ajmain!

No comments:

Post a Comment